Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Maybank bekerjasama untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia sekali gus menjadikannya antara destinasi pelaburan utama di dunia.
Bernama melaporkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid menjelaskan peranan penting institusi kewangan dalam menghubungkan sumber modal dengan pelbagai peluang pelaburan yang tersedia.
Shamsul berkata, kekuatan Maybank di ASEAN serta pengaruh meluas di pasaran global menjadikannya rakan yang sesuai untuk membantu Malaysia muncul sebagai pusat pelaburan dan pengembangan perniagaan serantau.
“Melalui kerjasama ini, MIDA akan terus memberi kemudahan dari awal hingga akhir, daripada panduan peraturan hingga sokongan selepas penjagaan bagi membantu pelabur untuk menubuhkan, mengembangkan dan berjaya dengan keyakinan di Malaysia.
“Kami berhasrat untuk menyampaikan apa yang paling dihargai oleh pelabur iaitu kestabilan, ketersambungan dan laluan pertumbuhan yang jelas,” katanya.
MIDA, sebagai agensi utama yang mempromosikan pelaburan negara, berkata kerjasama ini akan membolehkan mereka menggunakan kepakaran dalam memudah cara pelaburan serta menyelaras dasar berkaitan.
Pada masa sama, Maybank akan menggunakan pengalaman dan rangkaiannya di peringkat serantau untuk menarik dan menyalurkan pelaburan tempatan serta asing ke sektor yang berpotensi tinggi di Malaysia
MIDA dan Maybank akan menganjurkan beberapa program promosi seperti misi pelaburan, sesi meja bulat perniagaan dan kempen pemasaran bagi menarik pelaburan bernilai tinggi ke Malaysia.
Menurut MIDA, antara sektor utama yang diberi tumpuan ialah industri elektrik dan elektronik (E&E), ekonomi digital, kenderaan elektrik (EV), penjagaan kesihatan serta petrokimia.
Presiden dan CEO Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, kerjasama antara Maybank dan MIDA dilaksanakan pada masa tepat, selepas pembentangan Belanjawan 2026 yang menekankan usaha menarik pelaburan bagi mencapai sasaran utama ekonomi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
“Sebagai bank terbesar di Malaysia dan institusi terkemuka di ASEAN yang melayani pelbagai jenis pelanggan, kami lebih daripada sekadar pemberi pinjaman.
“Melalui kerjasama kami dengan MIDA, kami juga menyasarkan untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi halal global untuk memacu kemampanan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, kerjasama ini bertujuan mengukuhkan ekosistem dalam negara dengan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai rantaian bekalan global serta memanfaatkan peluang dalam bidang kecerdasan buatan dan ekonomi baharu.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.