MENANG BESAR! Citaglobal Tawan Projek Air Bernilai RM628 Juta di Selangor

Jabatan Bekalan Air (JBA) telah mengeluarkan surat setuju terima (LOA) kepada Citaglobal Land Sdn Bhd (CLSB), anak syarikat milik penuh Citaglobal Bhd, bagi pelaksanaan projek bernilai RM628 juta di Selangor.

Menurut kenyataan yang dihantar kepada Bursa Malaysia, syarikat berkenaan memaklumkan bahawa projek tersebut meliputi pembinaan kolam dwifungsi yang berperanan sebagai sumber air mentah serta sebagai langkah tebatan banjir di bawah Pakej A.

Menurut syarikat itu, kontrak reka bentuk dan bina tersebut meliputi pembinaan sebuah empangan serta stesen pam air mentah di Sungai Klang, pemasangan saluran paip menuju ke Sungai Air Hitam, penaiktarafan kepada 10 kolam takungan dan pemendapan, selain pembinaan laluan limpah, lembangan penyaring, serta pelaksanaan kerja-kerja mekanikal, elektrikal, instrumentasi dan infrastruktur berkaitan.

“Kontrak perlu disiapkan dalam tempoh 48 bulan dari tarikh pemilikan tapak dan merangkumi 12 bulan Fasa 1 yang memberi tumpuan kepada kolam dwifungsi dan sistem pemendapan,” katanya.

Difahamkan, projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan prestasi kewangan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya.

“Syarikat tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa kecuali risiko operasi biasa berkaitan kontrak terbabit.

“Bagaimanapun, syarikat akan mengambil langkah yang perlu bagi mengurangkan risiko apabila ia berlaku,” jelasnya.

Sementara itu, syarikat menjelaskan bahawa kontrak tersebut tidak melibatkan sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, daripada mana-mana pengarah ataupun pemegang saham utamanya.

Pada hari ini, pihak syarikat terbabit telah mengesahkan penerimaan surat setuju terima (LOA) yang bertarikh 10 November 2025.

Sumber : Berita Harian

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.

Air SelangorCitaglobal