MARA Komited Angkat Syarikat Bumiputera ke Bursa Malaysia Menjelang 2026

Selaras dengan sasaran dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA 35), Majlis Amanah Rakyat (MARA) berhasrat untuk melihat sekurang-kurangnya tiga syarikat Bumiputera berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun hadapan.

Memetik laporan Bernama, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang memaklumkan bahawa usaha tersebut dilakukan bagi mengenal pasti syarikat Bumiputera yang berpotensi besar serta membantu mereka mengukuhkan kedudukan supaya mampu menembusi pasaran antarabangsa dan bersaing di peringkat global.

Foto : Bernama

“Kita sudah menetapkan sasaran dalam PuTERA 35 untuk memperbanyakkan penyenaraian syarikat Bumiputera di Bursa Malaysia. Usaha ini turut diperincikan dalam Pelan Strategik MARA 2026–2030,” katanya selepas merasmikan MARA Automotive Ecosystem 2025 (MATEC 2025) pada Ahad.

Beliau memaklumkan bahawa setakat ini, syarikat Bateriku (M) Sdn Bhd sedang dalam proses untuk disenaraikan di Bursa Malaysia, sekali gus menunjukkan pengiktirafan terhadap keupayaan serta kepakaran usahawan tempatan dalam bidang automotif.

Katanya lagi, MARA komited untuk terus memperkukuh penglibatan Bumiputera dalam industri tersebut supaya lebih ramai usahawan berjaya dapat dilahirkan pada masa akan datang.

Jelas Rubiah, pada tahun hadapan, program MATEC akan memasuki siri ketiganya dengan penganjuran yang lebih besar dan penyertaan lebih meluas, termasuk kerjasama antara syarikat Bumiputera dan bukan Bumiputera.

“Mungkin pada siri akan datang, kita akan memperbanyakkan lagi penglibatan syarikat bukan Bumiputera bagi memperkukuh jaringan industri automotif tempatan,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa MARA telah membuktikan keupayaan usahawan Bumiputera bukan hanya sebagai pengguna, tetapi turut berperanan sebagai penggerak utama dalam transformasi industri automotif yang bernilai RM80 bilion setiap tahun.

Tambahnya lagi, penyertaan lebih 2,000 usahawan automotif Bumiputera dalam rantaian industri, bersama pelaburan baharu seperti pembinaan kilang kenderaan elektrik (EV) BYD di Tanjung Malim, memperlihatkan keyakinan Malaysia dalam melangkah ke arah masa depan industri yang lebih maju.

Dengan tema “Charge the Hype”, MATEC 2025 yang diadakan dari 31 Oktober hingga hari ini menyasarkan lebih 104,000 pengunjung serta menampilkan sebanyak 200 reruai pameran.

Bagi mengukuhkan jaringan bakat dan perniagaan dalam industri, MARA turut menandatangani enam memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian kerjasama (MoA) strategik bersama beberapa rakan industri utama seperti Volvo, Modenas, YTL Technologies, MArii, Mannol dan TalentCorp.

Berbanding MATEC 2024 yang mencatat kehadiran 26,550 pengunjung dan jualan sebanyak RM16.6 juta, penganjuran tahun ini menunjukkan peningkatan keyakinan yang ketara dengan potensi nilai transaksi dijangka mencapai RM50 juta.

Sumber : Bernama

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.

Bumiputerabursa malaysiaMARA