Pelaksanaan status ASEAN Business Entity (ABE) dijangka membuka lebih banyak peluang untuk melahirkan syarikat multinasional (MNC) dari rantau ASEAN, sekali gus memperluas akses pasaran di kawasan ini.
Bernama melaporkan, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, idea pelaksanaan ABE merupakan antara usaha yang diketengahkan oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan turut disenaraikan sebagai salah satu inisiatif dalam Belanjawan 2026.
“Dengan ABE, harapan kita adalah satu hari nanti akan ada lebih banyak ASEAN MNC supaya kita tidak lagi hanya bergantung kepada MNC dari barat atau negara lain.
“ASEAN MNC ini boleh melakukan aktiviti ekonomi dan industri di antara negara ASEAN dan mewujudkan pasaran yang lebih kukuh,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab pertanyaan Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) tentang langkah mengurangkan halangan bukan tarif, Liew menjelaskan bahawa ASEAN kekal komited untuk menurunkan halangan tersebut bagi memperkukuh integrasi ekonomi di rantau ini.
Difahamkan, langkah itu bertujuan memastikan manfaat perdagangan dapat dirasai secara menyeluruh, termasuk oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Liew turut menjelaskan bahawa ASEAN telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk mencapai tujuan tersebut, antaranya menubuhkan Badan Sektoral Coordinating Committee on the Implementation of the ASEAN Trade in Goods Agreement (CCA) serta ASEAN Trade Facilitation Joint Consultative Committee (ATF-JCC).
Selain itu, ASEAN turut mewujudkan platform digital serantau dikenali sebagai ASEAN Single Window, yang menghubungkan sistem National Single Window (NSW) setiap negara anggota bagi membolehkan pertukaran dokumen kastam dan perdagangan dilakukan secara elektronik antara negara.
“Seterusnya ialah penyediaan Garis Panduan – Guidelines for the Implementation of ASEAN Commitments on Non-Tariff Measures on Goods; Mutual Recognition Arrangement (MRA) serta naik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA),” ujarnya lagi
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.