Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa setelah dinobatkan sebagai penerima “Anugerah Kecemerlangan Bank Islam Terulung Dunia 2026′ dalam sebuah majlis berprestij yang berlangsung di London, United Kingdom.
Menurut kenyataan rasmi bank itu, pengiktirafan tersebut membuktikan peningkatan kedudukan Bank Muamalat di arena global, didorong oleh amalan tadbir urus yang kukuh serta komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan ekosistem kewangan Islam yang mampan dan inklusif.
Anugerah tersebut disampaikan sempena penganjuran persidangan peringkat tinggi bertajuk “ASEAN di Persimpangan Geopolitik 2026”, sebuah forum tertutup anjuran bersama oleh London School of Economics, Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik serta Kelab Ekonomi ASEAN.
Program berkenaan menghimpunkan barisan pemimpin antarabangsa, pembuat dasar kanan serta tokoh industri global bagi membincangkan peranan dan pengaruh strategik ASEAN ketika rantau itu berdepan landskap geopolitik dan ekonomi dunia yang semakin kompleks.
Dalam pada itu, pengiktirafan berprestij tersebut diterima bagi pihak Bank Muamalat oleh Pengerusinya, Tan Sri Tajuddin Atan, bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Khairul Kamarudin.
Mengulas kemenangan itu, Khairul berkata kejayaan berkenaan merupakan cerminan komitmen serta dedikasi seluruh warga kerja Bank Muamalat, diperkukuh dengan hala tuju dan tadbir urus strategik yang diterajui Lembaga Pengarah dalam memperkasa penawaran penyelesaian kewangan yang bertanggungjawab.
“Pengiktirafan global berprestij ini mengukuhkan komitmen berterusan Bank Muamalat terhadap kecemerlangan, kepercayaan dan inovasi seiring dengan aspirasi kami untuk menjadi The Strongest Islamic Bank in Malaysia (Bank Islam Terkukuh di Malaysia),” katanya.
Menurut beliau, pencapaian tersebut menjadi pemangkin kepada komitmen Bank Muamalat untuk mempercepatkan pelaksanaan agenda transformasi melalui usaha berterusan memperkasa inovasi serta memperluas keupayaan kewangan berasaskan nilai.
Pengiktirafan di peringkat global itu diberikan kepada Bank Muamalat berikutan rekod prestasi kewangan yang stabil, disokong oleh tadbir urus Syariah yang mantap serta pendekatan progresif dalam membangunkan penyelesaian kewangan Islam.
Sumber : MalaysiaGazette
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.