Malaysia kini dilihat berada pada landasan kukuh untuk berkembang sebagai pusat perdagangan emas fizikal bertaraf antarabangsa, hasil pengenalan Prinsip Industri Emas Malaysia (MGIP).
Menurut Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA), Datuk Seri Louis Ng, rangka kerja MGIP yang dijadualkan diumumkan pada suku ketiga 2026 dirangka hasil gandingan pelbagai pihak, termasuk pembuat dasar kerajaan, badan kawal selia dan penguat kuasa, agensi piawaian, pertubuhan industri serta pemain utama dalam rantaian nilai.
Katanya, pelaksanaan MGIP bakal berfungsi sebagai kerangka tadbir urus industri emas tempatan, dengan penekanan terhadap amalan sumber yang beretika, ketelusan penentuan harga, perlindungan pengguna serta jaminan mutu produk.
Beliau menambah, pembangunan rangka kerja itu turut berpandukan rujukan antarabangsa, antaranya garis panduan pelaburan emas runcit Majlis Emas Dunia (WGC), amalan di India, Bluebook Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan standard tempatan SIRIM.
“Melalui MGIP, kita mahu mewujudkan ekosistem industri yang tersusun, telus dan boleh dipercayai di seluruh negara,” katanya kepada media pada Persidangan Emas Malaysia 2026 anjuran MGA di sini, hari ini.
Menurut Ng, pelaksanaan MGIP turut merangkumi pemberian tanda pengiktirafan khas kepada kedai emas yang mematuhi garis panduan ditetapkan, sebagai lambang komitmen terhadap amalan perniagaan yang beretika dan bertanggungjawab.
Beliau menjelaskan, meskipun inisiatif itu bersifat sukarela pada peringkat awal, penggunaan logo berkenaan dijangka menjadi kayu ukur keyakinan pelanggan serta membezakan antara premis yang memenuhi piawaian dengan yang tidak.
Tambahnya, keperluan ini dianggap kritikal memandangkan industri emas tempatan melibatkan kira-kira 250,000 pemain, justeru memerlukan satu standard seragam yang mudah dikenali oleh orang ramai.
“MGIP turut berperanan menyatukan pelbagai persatuan emas tempatan di bawah satu kerangka bersama, bagi memastikan ketelusan harga, kualiti produk, dan amalan perdagangan yang adil. Dengan MGIP, industri akan lebih tersusun, standard lebih jelas, dan penerimaan antarabangsa dapat dipertingkatkan.
“Kami yakin, dengan rantaian nilai lengkap, kepimpinan dalam kewangan Islam dan penjajaran lebih mendalam dengan institusi global seperti LBMA (London Bullion Market Association), SGE (Shanghai Gold Exchange) dan DMCC (Dubai Multi Commodities Centre), Malaysia berpotensi muncul sebagai pusat serantau bagi pensijilan, pendidikan, dan teknologi industri emas,” katanya.
Ng menjelaskan bahawa kelebihan geografi Malaysia yang terletak di tengah Asia, ditambah dengan kewujudan institusi yang stabil, progresif dan mesra perniagaan, meletakkan negara ini dalam posisi kukuh untuk menerajui hala tuju pasaran emas serantau pada masa depan.
Menurut beliau, daya saing iklim perniagaan tempatan turut menarik minat pemain global dalam industri logam berharga, dipacu oleh dasar sifar duti import dan eksport jongkong emas, pengecualian cukai penggunaan domestik ke atas jongkong pelaburan, serta prosedur kastam yang cekap dan telus.
Justeru itu, kelebihan ini menjadi pemangkin penting yang membolehkan Malaysia berperanan sebagai hab yang menawarkan kos berpatutan dan operasi cekap kepada penapis emas, pedagang, pengeluar barang kemas, penyedia perkhidmatan logistik dan institusi pelaburan.
Sumber : Berita Harian
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.