Malaysia dan China kini dilihat antara negara Asia yang lebih kukuh menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga global, khususnya susulan konflik yang masih berlarutan di Asia Barat.
Dalam satu wawancara bersama CNBC, Ketua JP Morgan Asia merangkap Ketua Bersama Strategi Ekuiti Pasaran Pesat Membangun Global, Rajiv Batra, menjelaskan bahawa kebanyakan ekonomi lain di rantau ini lebih mudah terkesan dengan kejutan berkaitan tenaga, berbanding dua negara tersebut.
Menurut beliau, kelebihan Malaysia terletak pada statusnya sebagai pengeksport tenaga serta pendekatan dasar yang konsisten dan berdisiplin, sekali gus membantu negara ini menyerap tekanan daripada faktor luaran.
“Defisit fiskal Malaysia terkawal dengan baik berikutan dasar kerajaan dan kadar inflasi yang tidak terlalu tinggi,” katanya kepada media.
Beliau menjelaskan bahawa kelebihan tersebut bukan sahaja mengukuhkan prestasi pasaran saham tempatan, malah turut membantu menstabilkan nilai mata wang ketika berdepan tekanan dari luar.
Dalam masa sama, Rajiv turut menekankan bahawa kebergantungan China terhadap import tenaga adalah sangat rendah, iaitu sekitar lima peratus sahaja bagi penjanaan elektrik, dengan sebahagian besar bekalan tenaga negara itu dihasilkan secara domestik.
China juga memiliki simpanan strategik yang kukuh serta keupayaan untuk menambah bekalan tenaga alternatif seperti arang batu dan sumber boleh diperbaharui apabila diperlukan.
Namun begitu, Rajiv mengingatkan bahawa hala tuju ekonomi global masih dibayangi ketidaktentuan. Sekiranya ketegangan geopolitik terus mengganggu rantaian bekalan minyak dan gas termasuk isu kerosakan infrastruktur dan kelewatan penghantaran tekanan terhadap pertumbuhan ekonomi dunia dijangka meningkat.
Dari sudut pasaran saham pula, beliau menjangkakan impak paling pantas akan dirasai oleh sektor yang bergantung rapat kepada tenaga, antaranya barangan pengguna, utiliti serta industri hiliran.
Beliau turut menjelaskan bahawa sekiranya keadaan tersebut berpanjangan, kesannya berpotensi merebak ke pelbagai sektor lain termasuk kewangan, teknologi, telekomunikasi serta penjagaan kesihatan.
Pada masa sama, Rajiv berpandangan bahawa walaupun risiko yang wujud agak ketara, pasaran ketika ini masih belum benar-benar menilai kemungkinan senario terburuk. Sebaliknya, sentimen pelabur dilihat masih menjangkakan ekonomi akan terus berkembang secara perlahan meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.