Malaysia, AS Perkukuh Kerjasama Tangani Isu Forex dan Ekonomi Global

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) sepakat untuk memperkukuh rundingan berhubung hal ehwal makroekonomi serta urus niaga pertukaran mata wang asing (Forex).

Memetik laporan Bernama, BNM menjelaskan bahawa Malaysia dan Amerika Syarikat telah menegaskan kembali komitmen mereka di bawah Artikel Perjanjian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mengelakkan sebarang bentuk manipulasi kadar pertukaran atau sistem kewangan global bagi tujuan memperoleh kelebihan daya saing secara tidak adil atau menghalang penyesuaian imbangan pembayaran yang sewajarnya.

Foto : NSTP

Menurutnya, kedua-dua pihak turut mencapai persetujuan bahawa sebarang langkah berhemat makro (microprudential) atau kawalan aliran modal tidak akan digunakan bagi mempengaruhi kadar pertukaran untuk mendapatkan kelebihan daya saing.

BNM menambah, kedua-dua negara turut berjanji, pelaburan yang dibuat oleh agensi kerajaan seperti dana persaraan di luar negara hanyalah untuk mendapatkan pulangan yang baik dan mempelbagaikan pelaburan, bukan untuk mempengaruhi kadar pertukaran bagi tujuan persaingan.

“Kedua-dua negara juga bersetuju iaitu campur tangan pasaran pertukaran mata wang asing hanya harus digunakan untuk menangani turun naik yang keterlaluan atau pergerakan tidak teratur sama ada disebabkan oleh penyusutan nilai atau peningkatan nilai yang mendadak,” kata BNM dalam satu kenyataan.

Bank pusat itu turut menegaskan kepentingan dasar kadar pertukaran yang telus serta berikrar untuk mendedahkan jumlah bersih urus niaga pembelian dan penjualan Forex bagi tempoh 12 bulan, yang akan diterbitkan pada setiap akhir bulan Mac dan September.

BNM turut akan meneruskan penerbitan data rizab pertukaran asing dan kedudukan hadapan setiap bulan, selaras dengan Templat Data IMF berkaitan Rizab Antarabangsa dan Kecairan Mata Wang Asing.

Data transaksi Forex secara agregat bagi tempoh enam bulan akan dikongsi oleh BNM dengan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat melalui saluran dua hala secara sulit, dengan tempoh kelewatan pelaporan selama tiga bulan.

Sumber : Bernama

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.

Amerika SyarikatBNMForexMALAYSIA