Malaysia Airlines terus mengukuhkan armada apabila menerima sebuah Boeing 737-8 baharu, yang merupakan unit ke-15 dalam kategori tersebut serta penghantaran pertama bagi tahun ini. Pesawat itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada malam Khamis.
Syarikat itu memaklumkan bahawa ketibaan pesawat berkenaan mencerminkan satu lagi kemajuan penting dalam pelan memperluaskan dan memperkukuh kapasiti armadanya.
“Tambahan terbaharu ini memaparkan komitmen berterusan kami untuk meningkatkan lagi kecekapan operasi serta merealisasikan perjalanan lebih lancar dan selesa untuk penumpang,” menurut Malaysia Airlines dalam hantaran di akaun rasmi platform X.
Penerbangan pesawat tersebut diketuai oleh Kapten Reza Abdul Rahim bersama Kapten Megat Mohd Yasser Mohd Yusoff dan Kapten Mohamad Shazreen Sazali, manakala tugas pegawai pertama disandang oleh Meor Muhamad Arif Meor Mohd Mahazir serta Aidid Azizul Hashim.
Komitmen dan kecekapan mereka memastikan perjalanan pesawat itu berlangsung dengan lancar sepanjang berada di ruang udara negara.
“Di sebalik setiap ketibaan adalah usaha tidak kenal penat lelah para jurutera serta pasukan projek pesawat kami…terima kasih kerana telah merealisasikan detik bermakna ini.
“Setiap pesawat baharu ini hanya mendekatkan kami kepada usaha takrifan semula pengalaman perjalanan melalui inovasi bermakna serta kemesraan Hospitaliti Malaysia dan menjadikan perjalanan anda sesuatu yang amat bermakna. Kami menunggu untuk menyambut ketibaan anda,” menurut Malaysia Airlines.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.