Konflik Timur Tengah Memuncak, Harga Minyak Berisiko Lonjak Cecah Tiga Digit?

Firma penyelidikan tenaga global, Rystad Energy menjangkakan harga minyak berpotensi mencecah paras tiga digit sekiranya ketegangan di Timur Tengah terus berpanjangan.

Menurut Ketua Penyelidikan Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) syarikat itu, Aditya Saraswat, pasaran tenaga ketika ini berada dalam keadaan tidak stabil apabila pedagang memberi reaksi terhadap perkembangan terbaru yang meningkatkan ketegangan di rantau tersebut.

“Jika konflik ini berlarutan, harga minyak menjadi tiga digit adalah satu kemungkinan yang sangat nyata,” katanya dalam kemas kini mengenai keadaan pasaran semalam.

Menurut Aditya Saraswat, sebelum ini kebimbangan pasaran lebih tertumpu kepada keupayaan bekalan tenaga untuk terus melalui rantau tersebut. Namun, serangan dron yang berlaku baru-baru ini telah meningkatkan ancaman terhadap kemudahan serta infrastruktur tenaga di seluruh Timur Tengah.

Beliau menjelaskan, kesan daripada peningkatan risiko itu tidak terhad kepada sektor tenaga sahaja, malah turut memberi tempias kepada pelbagai industri lain termasuk pusat data, sebelum akhirnya dirasai oleh pengguna melalui kenaikan harga bahan api.

Tambahnya lagi, sekiranya konflik tersebut berpanjangan, beberapa kemudahan di rantau berkenaan mungkin terpaksa ditutup sebagai langkah pencegahan, yang berpotensi memberi kesan besar terhadap kestabilan pasaran minyak global.

“Jika gangguan bermula di Iraq, risikonya ialah ia akan merebak ke pengeluar utama lain seperti Kuwait, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar,” katanya.

Berhubung sektor gas, Aditya Saraswat memaklumkan bahawa gangguan bekalan sudah mula berlaku apabila Qatar mengambil langkah menghentikan operasi yang melibatkan kira-kira 77 juta tan kapasiti pengeluaran gas asli cecair (LNG) setahun.

“Sekiranya keadaan menjadi lebih buruk, terdapat risiko bahawa UAE boleh menghadapi gangguan yang sama,” tambahnya.

Ketika ini, mentah Brent melonjak 2.84 peratus kepada AS$83.71 setong.

Sumber : Harian Metro

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.

harga minyakKonflikTimur Tengah