Ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah mula memberi kesan kepada industri penerbangan apabila beberapa syarikat penerbangan di Asia dan Eropah mengambil langkah melaras operasi mereka. Antara tindakan yang diambil termasuk menaikkan harga tiket, mengenakan surcaj bahan api serta mengubah jadual penerbangan berikutan peningkatan ketara kos bahan api pesawat dan gangguan terhadap laluan udara penting.
Qantas Airways, Scandinavian Airlines dan Air New Zealand merupakan antara syarikat yang telah mengumumkan pelarasan tambang. Dalam masa sama, beberapa pengendali penerbangan lain turut memberi amaran bahawa krisis berkenaan berpotensi menjejaskan bekalan bahan api selain memaksa mereka membuat perubahan terhadap jadual penerbangan sedia ada.
Menurut Air New Zealand, harga bahan api jet yang sebelum ini berada pada paras sekitar AS$85 hingga AS$90 setong sebelum tercetusnya serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran kini meningkat mendadak kepada kira-kira AS$150 hingga AS$200 setong.
Susulan ketidaktentuan pasaran yang dipacu oleh konflik tersebut, syarikat penerbangan itu turut mengambil keputusan untuk menggantung sementara unjuran kewangannya bagi tahun 2026.
Konflik tersebut turut menjejaskan laluan utama penghantaran minyak dunia, sekali gus menyebabkan kos operasi syarikat penerbangan meningkat dan membawa kepada kenaikan harga tiket bagi beberapa laluan penerbangan.
Jurucakap SAS memaklumkan bahawa lonjakan harga bahan api pada tahap tinggi memaksa syarikat mengambil langkah tertentu bagi memastikan operasi penerbangan terus berjalan dengan stabil dan boleh dipercayai. Menurutnya, pelarasan harga secara sementara telah diperkenalkan sebagai sebahagian daripada langkah tersebut.
Dalam masa sama, beberapa syarikat penerbangan lain seperti Lufthansa dan Ryanair mempunyai strategi lindung nilai bahan api (fuel hedging) yang membolehkan mereka menetapkan harga bahan api lebih awal bagi mengurangkan kesan turun naik pasaran.
Walaupun Finnair telah melaksanakan langkah lindung nilai bagi lebih 80 peratus pembelian bahan api untuk suku pertama, syarikat itu memberi amaran bahawa konflik yang berlarutan berpotensi memberi kesan bukan sahaja kepada harga bahan api, malah juga kepada bekalannya.
Sementara itu, perkhidmatan penjejakan penerbangan Flightradar24 memaklumkan bahawa beberapa pesawat yang menuju ke Dubai terpaksa berlegar di ruang udara buat sementara waktu semalam susulan kemungkinan ancaman serangan peluru berpandu sebelum dibenarkan mendarat.
Gangguan terhadap ruang udara di kawasan tersebut turut memaksa banyak syarikat penerbangan mengubah laluan penerbangan serta menyesuaikan semula rangkaian operasi mereka.
Dalam perkembangan sama, Cathay Pacific memaklumkan bahawa pihaknya merancang menambah penerbangan ke London dan Zurich pada Mac berikutan penutupan beberapa ruang udara serta kekangan kapasiti yang menyebabkan tambang bagi laluan Asia–Eropah meningkat.
Hong Kong Airlines pula mengumumkan peningkatan caj bahan api sehingga 35.2 peratus, manakala Air India memaklumkan bahawa pelarasan caj bahan api akan dilaksanakan secara berperingkat bagi penerbangan domestik dan juga antarabangsa.
Dalam perkembangan berbeza, International Airlines Group yang merupakan syarikat induk kepada British Airways menyatakan bahawa buat masa ini pihaknya tidak bercadang menaikkan harga tiket kerana kedudukan lindung nilai bahan api syarikat itu masih kukuh.
Harga minyak mentah yang sebelum ini melonjak sehingga AS$119 setong pada Isnin bagaimanapun susut kepada sekitar AS$90 setong pada Selasa selepas Presiden Donald Trump memberi bayangan bahawa konflik tersebut mungkin tidak akan berlarutan.
Di pasaran saham, beberapa syarikat penerbangan Eropah mencatatkan kenaikan antara tiga hingga lapan peratus. Sebaliknya, saham syarikat penerbangan utama Amerika Syarikat seperti Delta Air Lines, United Airlines, Alaska Air Group dan American Airlines ditutup lebih rendah, susut sekitar dua hingga empat peratus.
Menurut penganalisis, peningkatan kos bahan api bersama keperluan menggunakan laluan penerbangan yang lebih jauh berpotensi menekan margin keuntungan syarikat penerbangan. Namun begitu, permintaan perjalanan yang masih kukuh dijangka dapat membantu pasaran menyesuaikan diri dengan kenaikan harga tiket.
Sumber : Berita Harian
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.