Kerajaan memberi jaminan bahawa sistem pelaksanaan subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif Budi MADANI RON95 (BUDI95) selamat daripada ancaman siber.
Menerusi laporan Bernama, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, aspek keselamatan siber bagi sistem BUDI95 telah diteliti secara mendalam untuk memastikan ia berkesan serta mampu menghadapi sebarang kemungkinan.
“Apa yang kita telah laksanakan ialah sistem yang mengambil kira kemungkinan tertentu. Ia selamat untuk diteruskan buat masa ini dan ini adalah aspek yang telah dilihat secara teliti.
“Fokus dan keutamaan yang diberikan oleh Perdana Menteri dalam semua aspek pendigitalan adalah keselamatan. Oleh itu, sama juga dengan BUDI95, aspek keselamatan telah diberikan perhatian secara khusus dan sistem sedia ada bersedia untuk semua kemungkinan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Kenyataan tersebut dibuat selepas merasmikan Cyber Digital Services, Defence and Security Asia Exhibition and Conference (CyberDSA 2025) di MITEC, di sini.
Sementara itu, Gobind memaklumkan bahawa Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data 2026–2030, hasil kerjasama CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Digital Negara, akan dilancarkan menjelang akhir tahun ini.
Difahamkan, strategi tersebut akan menumpukan kepada pengukuhan keselamatan siber serta meningkatkan keyakinan pengguna dalam tempoh 2026 hingga 2030.
“Saya harap kita dapat melancarkan dokumen tersebut sebelum akhir tahun ini supaya gerak kerja kita ke hadapan terutamanya dalam aspek membina kepercayaan digital dapat dilihat, difahami dan dilaksanakan,” jelasnya lagi.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.