Setiap kali harga emas meningkat dengan ketara, kebiasaannya timbul tanggapan dalam kalangan orang ramai bahawa kenaikan tersebut berpunca daripada tindakan sesebuah kedai emas yang menaikkan harga sesuka hati.
Tidak kurang juga yang beranggapan bahawa kedai emas sengaja melakukan mark up demi meraih keuntungan lebih tinggi.
Namun, persepsi ini sebenarnya kurang tepat. Hakikatnya, kedai emas bukan pihak yang mempunyai kuasa untuk menentukan atau mengawal harga emas.
Sebaliknya, mereka hanya menetapkan harga jualan berdasarkan rujukan harga semasa yang ditentukan oleh pasaran global.
Kedai emas di Malaysia sekadar mengikut perubahan tersebut, dengan mengambil kira kos operasi seperti upah pembuatan, logistik dan margin perniagaan yang munasabah.
Apa itu harga emas dunia ?
Harga emas dunia merujuk kepada harga spot emas, iaitu harga semasa emas di pasaran antarabangsa yang bergerak hampir setiap saat.
Harga ini berubah berdasarkan satu prinsip asas iaitu apabila :
- Permintaan meningkat → harga naik
- Tekanan jualan meningkat → harga turun
Malaysia mengambil harga ini sebagai asas, kemudian ditambah dengan faktor tempatan seperti:
- spread
- kos upah
- logistik & penyimpanan
Sebab itu, walaupun tiada apa-apa berlaku dalam negara, harga emas tetap boleh berubah.
Berikut merupakan 5 kuasa besar yang mempengaruhi pergerakan harga emas :
1. Pasaran Spot Emas Antarabangsa
Pasaran spot ialah “medan utama” pertempuran beli dan jual emas dunia.
Aktiviti ini banyak berlaku di pusat kewangan besar seperti London dan New York.
Contohnya:
Apabila berlaku krisis global, ketegangan geopolitik atau ketidaktentuan ekonomi, pelabur akan mencari aset selamat.
Emas menjadi pilihan utama.
Akibatnya, permintaan meningkat secara mendadak dan harga boleh melonjak dalam masa singkat walaupun negara lain tidak terlibat secara langsung.
2. Bursa Futures Emas (COMEX)
Pergerakan harga emas bukan hanya didorong oleh pembelian emas fizikal.
Sebahagian besar perubahan harga datang daripada kontrak futures emas, terutamanya di COMEX, New York.
Institusi besar dan dana pelaburan berdagang kontrak emas dalam jumlah yang sangat besar.
Apabila volume pembelian kontrak meningkat, pasaran akan membaca sentimen:
“Pemain besar sedang masuk.”
Walaupun emas fizikal tidak berpindah tangan, harga tetap bergerak kerana jangkaan pasaran.
3. London Bullion Market (LBMA)
LBMA berfungsi sebagai penanda aras emas fizikal untuk institusi besar dunia.
Di sinilah urus niaga emas berskala besar berlaku, terutamanya jongkong emas standard.
Apabila permintaan emas fizikal meningkat di peringkat institusi:
- tekanan bekalan bertambah
- harga global akan ikut naik
4. Bank Pusat Negara-Negara Besar
Bank pusat juga merupakan pembeli emas yang sangat berpengaruh.
Emas digunakan sebagai:
- simpanan nilai
- pelindung kestabilan kewangan negara
Apabila bank pusat mula menambah rizab emas dalam jumlah besar, pasaran akan melihatnya sebagai isyarat positif terhadap emas, lalu meningkatkan keyakinan dan permintaan.
5. Nilai USD & Kadar Faedah Amerika Syarikat
Emas mempunyai hubungan rapat dengan USD dan kadar faedah Fed.
Secara umum:
- USD kuat & faedah tinggi → emas tertekan
- USD lemah & faedah rendah → emas menguat
Apabila kadar faedah turun, pulangan simpanan tunai dan bon menjadi kurang menarik.
Dalam situasi ini, pelabur akan kembali kepada emas sebagai aset lindung nilai.
Sebab itulah dasar Fed sering memberi kesan besar kepada harga emas global.
Harga emas bukan permainan kedai emas. Ia adalah refleksi pergerakan duit global, keyakinan pelabur, dan perubahan ekonomi dunia.
Jadi lain kali bila nampak harga emas naik, mungkin soalan yang lebih tepat bukan:
“Kenapa kedai emas naikkan harga?”
Tapi:
“Apa yang sedang berlaku pada dunia?”
Sumber : Majalahlabur
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.