Johor dan Singapura menekankan kepentingan kestabilan rantau, keselamatan serta pentadbiran yang efektif sebagai asas untuk mengukuhkan ekonomi mampan dan meningkatkan keyakinan para pelabur.
Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, perkara itu telah dibincangkan ketika sesi pertemuan empat mata bersama Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam semalam.
Onn Hafiz memaklumkan bahawa sesi bersama Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Singapura itu mengambil masa sekitar dua jam dan berlangsung di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Saujana.
Beliau menjelaskan bahawa antara matlamat utama pertemuan tersebut adalah untuk mengukuhkan lagi kerjasama strategik dua hala antara Johor dan Singapura.
“Hubungan erat Johor Singapura sebagai rakan strategik serantau amat signifikan dalam menghadapi cabaran semasa termasuk keselamatan rentas sempadan dan pembangunan ekonomi yang inklusif.
“Persefahaman yang terjalin melalui pertemuan berkenaan diyakini mampu menyumbang kepada persekitaran yang lebih stabil dan kondusif, sekali gus memperkukuh daya saing Johor menjelang sasaran pembangunan negeri 2030,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menyatakan bahawa pertemuan berkenaan selari dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menggariskan keperluan untuk terus memperkukuh kerjasama strategik antara Johor dan Singapura.
Tambahnya, usaha tersebut berasaskan kepentingan bersama dan demi kemakmuran rantau.
Sumber : MalaysiaGazette
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.