Ketegangan geopolitik di Timur Tengah semakin meningkat apabila Selat Hormuz, laluan maritim yang amat penting bagi perdagangan tenaga dunia, kini berada dalam pemantauan rapi masyarakat antarabangsa susulan konflik antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran.
Situasi menjadi lebih tegang selepas Iran memberi bayangan bahawa ia berkemungkinan menyekat laluan strategik itu sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan AS dan Israel. Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, dalam kenyataan awam pada 12 Mac lalu menyifatkan Selat Hormuz sebagai satu “kelebihan strategik” yang boleh digunakan terhadap kedua-dua negara berkenaan.
Ancaman tersebut menimbulkan kebimbangan global memandangkan selat itu memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran bekalan minyak dan gas ke pasaran antarabangsa.
Laluan utama perdagangan tenaga
Selat Hormuz terletak di antara Iran dan Oman serta menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman sebelum memasuki Laut Arab. Laluan sepanjang kira-kira 167 kilometer itu hanya sekitar 33 kilometer lebar di bahagian paling sempit, menjadikannya koridor utama bagi negara-negara Teluk mengeksport minyak dan gas ke seluruh dunia.
Dianggarkan hampir satu perlima daripada bekalan minyak global serta gas asli cecair (LNG) melalui laluan tersebut setiap hari. Menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA), sekitar 20 juta tong minyak sehari melalui Selat Hormuz pada 2024.
Sebahagian besar penghantaran tenaga itu menuju ke Asia, dengan China menjadi penerima terbesar, diikuti India, Jepun dan Korea Selatan. Secara keseluruhan, kira-kira 69 peratus bekalan yang melalui selat berkenaan dihantar ke pasaran Asia.
Aktiviti kapal menurun ketara
Ketegangan yang tercetus pada 28 Februari lalu turut menjejaskan pergerakan kapal di kawasan tersebut. Data perisikan maritim menunjukkan purata sekitar 153 kapal melalui Selat Hormuz setiap hari sebelum konflik bermula, dengan jumlah itu pernah mencecah 188 kapal pada 17 Februari.
Bagaimanapun, angka tersebut merosot dengan ketara kepada hanya tujuh kapal pada 6 Mac dan dilaporkan terus menurun kepada sekitar tiga kapal dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Agensi keselamatan maritim Britain, UKMTO, turut memaklumkan sekurang-kurangnya 16 kapal telah diserang atau terjejas di dalam atau berhampiran Selat Hormuz setakat 12 Mac. Selain itu, sekitar 20 laporan insiden keselamatan turut diterima melibatkan kapal yang beroperasi di kawasan tersebut.
Strategi tekanan terhadap lawan
Penganalisis maritim, Nazery Khalid, berpendapat tindakan Iran itu boleh dilihat sebagai sebahagian strategi untuk memberi tekanan terhadap AS dan Israel melalui pendekatan tidak langsung.
Menurutnya, Iran mungkin tidak berhasrat menandingi kekuatan ketenteraan secara terbuka, sebaliknya menggunakan kelebihan geografi dan pengaruhnya terhadap laluan strategik bagi memberi kesan kepada ekonomi pihak lawan.
Beliau berkata, langkah sedemikian juga berpotensi menjejaskan ekonomi global sekiranya gangguan terhadap laluan tenaga itu berterusan.
Risiko kepada bekalan tenaga dunia
Gangguan terhadap laluan perkapalan di Selat Hormuz sudah mula memberi kesan kepada pasaran tenaga global apabila harga minyak melonjak hampir AS$120 setong selepas beberapa insiden serangan terhadap infrastruktur tenaga di negara Teluk.
Iran turut memberi amaran bahawa harga minyak boleh meningkat sehingga AS$200 setong sekiranya konflik semakin memuncak.
Sementara itu, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menyatakan bahawa sekatan terhadap Selat Hormuz berpotensi mencetuskan gangguan bekalan minyak terbesar dalam sejarah moden. Bekalan minyak global diunjurkan berkurang sehingga lapan juta tong sehari, iaitu kira-kira lapan peratus daripada permintaan dunia.
Laluan alternatif terhad
Dalam menghadapi situasi tersebut, beberapa negara Teluk cuba memanfaatkan saluran paip alternatif seperti Saluran Paip Timur-Barat Arab Saudi dan saluran paip minyak Abu Dhabi yang menyalurkan minyak ke Laut Merah.
Namun begitu, kapasiti kedua-dua saluran tersebut dilihat tidak mencukupi untuk menggantikan sepenuhnya peranan Selat Hormuz.
Sebagai contoh, terminal Yanbu di Laut Merah hanya mampu mengendalikan sekitar 4.5 juta tong minyak mentah sehari, jauh lebih rendah berbanding jumlah minyak yang biasanya melalui Selat Hormuz setiap hari.
Selain itu, laluan melalui Laut Merah juga tidak bebas daripada risiko keselamatan memandangkan kumpulan Houthi di Yaman yang bersekutu dengan Iran berpotensi melancarkan serangan terhadap kapal atau infrastruktur tenaga di kawasan tersebut.
Sekiranya konflik berterusan tanpa penyelesaian diplomatik, situasi ini berpotensi memberi kesan besar kepada kestabilan bekalan tenaga dunia dan ekonomi global secara keseluruhan.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.