Hasil Petroleum Negara Cecah RM775.2 Bilion Dalam Tempoh Enam Tahun – Azalina

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan bahawa hasil petroleum negara yang telah direkodkan antara tahun 2018 hingga 2024 adalah berjumlah RM775.2 bilion.

Berita Harian melaporkan, berdasarkan data daripada Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), jumlah berkenaan terdiri daripada RM284.8 bilion bagi Semenanjung Malaysia, RM205 bilion bagi Sabah, serta RM285.4 bilion untuk Sarawak.

Foto : Berita Harian

Dalam masa yang sama, nilai pelaburan sektor petroleum di Malaysia bagi tempoh tersebut dilaporkan mencapai RM256 bilion, dengan RM86.5 bilion datang daripada Semenanjung Malaysia, RM56.3 bilion daripada Sabah dan RM113.2 bilion disumbangkan oleh Sarawak.

“Peratusan keseluruhan pelaburan berbanding hasil huluan Malaysia adalah sebanyak 33 peratus iaitu Semenanjung Malaysia (30 peratus), Sabah (27 peratus) dan Sarawak (40 peratus),” katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Azalina berkata demikian sebagai jawapan kepada pertanyaan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) yang meminta penjelasan mengenai jumlah kos eksplorasi serta kos pengeluaran tahunan Petronas bagi operasi minyak gas di setiap negeri pengeluar dari tahun 2018 hingga 2024 serta peratusan kos tersebut berbanding nilai hasil keseluruhan.

Beliau juga menjelaskan bahawa prestasi kewangan Petronas bagi separuh pertama tahun 2025 terjejas akibat kejatuhan ketara harga purata jualan minyak mentah di pasaran global.

Foto : Bernama

Tambahnya lagi, harga tersebut susut kepada AS$71.87 setong berbanding AS$84.06 setong bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Menurutnya, situasi tersebut telah menyebabkan keuntungan bersih PETRONAS setakat Jun lalu merosot kepada RM26 bilion, berbanding RM32 bilion yang dicatat pada tempoh sama tahun sebelumnya.

“Prestasi perniagaan dan kewangan PETRONAS dipengaruhi faktor pasaran termasuk harga minyak mentah serta kadar pertukaran mata wang asing,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai faktor utama menyebabkan PETRONAS mengalami kerugian dalam laporan kewangan terkini dan langkah kerajaan serta pihak pengurusan PETRONAS mengatasi isu berkenaan.

Sumber : Berita Harian


Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.

petroleum negara