Harga minyak mencatatkan penurunan pada Isnin susulan operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang membawa kepada penahanan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.
Sekadar info, Venezuela merupakan negara yang memiliki rizab minyak mentah terbesar di dunia.
Kemasukan lebih banyak minyak dari Venezuela ke pasaran global dijangka memburukkan lagi kebimbangan lebihan bekalan, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada harga minyak yang telah mengalami penurunan sejak beberapa bulan lalu.
Pada dagangan awal di Asia, harga minyak Brent susut 0.21 peratus kepada AS$60.62 setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) merosot 0.35 peratus kepada AS$57.12 setong. Kedua-duanya mencatat sedikit peningkatan berbanding paras terendah sebelum ini.
Pada awal pagi Sabtu, tentera Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Caracas dengan mengebom beberapa sasaran ketenteraan sebelum membawa Presiden Nicolas Maduro bersama isterinya ke New York bagi menghadapi pertuduhan berkaitan pengedaran dadah.
Presiden Donald Trump berkata Amerika Syarikat akan mengambil alih pengurusan Venezuela, termasuk menghantar syarikat-syarikat dari negara itu bagi membaiki infrastruktur minyak yang disifatkan sebagai teruk dan usang.
Selepas bertahun-tahun berdepan kekurangan pelaburan serta sekatan ekonomi, pengeluaran minyak Venezuela kini dianggarkan sekitar satu juta tong sehari, jauh merosot berbanding kira-kira 3.5 juta tong sehari pada 1999.
Namun begitu, penganalisis berpandangan peningkatan besar pengeluaran minyak Venezuela bukanlah sesuatu yang mudah atau pantas, memandangkan ketidaktentuan masa depannya.
“Sebarang pemulihan pengeluaran memerlukan pelaburan yang besar memandangkan infrastruktur yang runtuh akibat bertahun-tahun salah urus dan kekurangan pelaburan,” kata penganalisis UBS Giovanni Staunovo kepada AFP.
Pada masa ini, pelaburan dalam sektor minyak dilihat kurang menarik apabila harga terus tertekan akibat lebihan bekalan dan mencatat penurunan pada 2025, meskipun wujud faktor yang lazimnya menyokong kenaikan seperti perang tarif di bawah pentadbiran Trump serta konflik berpanjangan di Ukraine.
Sumber : Malaysia Gazette
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.