Finfluencer Kini Di Bawah Radar SC — Superscalper Sedia Patuh 100%

Kuala Lumpur, 2025 — Trader dan penganalisis teknikal terkenal, AA Superscalper (Asyraf Bin Arsad), menyatakan sokongan penuhnya terhadap langkah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam memperkenalkan garis panduan dan peraturan khusus bagi finfluencer yang akan berkuat kuasa mulai 1 November 2025.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, AA Superscalper menegaskan bahawa beliau akan mematuhi sepenuhnya segala peraturan dan syarat baharu yang ditetapkan oleh SC. Langkah ini, katanya, adalah penting untuk memastikan industri kewangan digital dan pelaburan kekal telus, beretika, dan selamat untuk semua pihak.

“Sebagai seorang pendidik pasaran dan trader yang mengutamakan integriti, saya menyokong penuh usaha kerajaan serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Saya berharap semua pihak, sama ada individu atau organisasi, turut memenuhi kehendak ini dan bersama-sama menjaga keselamatan industri,” ujar beliau.

Selaras dengan kehendak kerajaan dan peraturan baharu SC Malaysia, Superscalper turut mengumumkan bahawa pihaknya akan mengubah polisi syarikat dengan menamatkan semua bentuk kolaborasi bersama mana-mana broker yang tidak mendapat pengiktirafan atau lesen sah daripada SC Malaysia. Polisi ini dijangka dilaksanakan sepenuhnya sebelum peraturan SC berkuat kuasa pada 1 November 2025.

Inisiatif SC ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam melindungi pelabur daripada risiko penyalahgunaan media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab. AA Superscalper percaya, kawal selia yang baik akan meningkatkan keyakinan awam terhadap ekosistem pelaburan negara, sekaligus mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai hab kewangan yang selamat dan beretika.
NOTA : Mengajar Teknikal Analisis tidak memerlukan lesen khusus dari SC, itu yang selalu diamalkan oleh SuperScalper. Kita tidak memberi signal buy/sell. kita tidak membuat copy trade dan membuat fund dengan mengutip duit orang awam.
https://www.sc.com.my/api/documentms/download.ashx?id=2bb1b664-aa03-425e-9472-9cc5b1558ed1