Ekonomi Malaysia Masih Teguh Dalam Ketidaktentuan Global – Ini Yang Rakyat Perlu Tahu !

Ekonomi negara masih berada dalam keadaan stabil dan kukuh walaupun dunia kini berdepan pelbagai tekanan global.

Memetik laporan Harian Metro, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, Malaysia juga tidak terkecuali daripada masalah kos hidup meningkat, struktur pekerjaaan berubah serta kemajuan teknologi yang bergerak laju untuk diikuti sepenuhnya.

Foto : Harian Metro

Menurutnya, kefahaman tentang pengurusan kewangan amat penting kerana ia membimbing rakyat untuk berfikir jauh ke hadapan, membuat keputusan yang lebih rasional dan meningkatkan ketahanan kewangan setiap keluarga.

“Ilmu kewangan membantu kita menilai keperluan sebenar, mengelak hutang berlebihan dan sentiasa bersedia sekiranya menghadapi kecemasan.

“Oleh itu, Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) memperbaharui Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030 dengan matlamat bukan sekadar mahu rakyat tahu mengira duit, tetapi tahu menggunakan duit dan menguruskan kewangan untuk meningkatkan taraf hidup,” katanya pada Sabtu.

Katanya lagi, sembilan daripada 10 rakyat Malaysia kini bergantung kepada platform kewangan digital untuk urusan harian seperti pembayaran bil dan pembelian insurans.

Namun, beliau memberi peringatan bahawa risiko penipuan turut meningkat dengan kemunculan teknologi AI yang mampu meniru identiti seseorang.

Difahamkan, BNM, bersama institusi kewangan dan pihak penguat kuasa, akan terus meningkatkan langkah keselamatan siber. Namun, beliau menegaskan bahawa tahap kesedaran dan kewaspadaan pengguna sendiri tetap menjadi benteng utama.

Dalam pada itu, Rasheed berkongsi dapatan kajian yang menunjukkan 31 peratus pengguna membuat pembelian dalam talian secara spontan, sesuatu yang boleh mengekang kemampuan mereka menyimpan dan akhirnya menimbulkan tekanan kewangan.

“Sebagai langkah awal, BNM bersama Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank akan melaksanakan Program Pendidikan Kewangan Tepat Pada Masanya (Just-In-Time Financial Education (JITFE)) khas untuk pemohon pembiayaan peribadi, supaya pinjaman dapat dimanfaatkan secara bijak,” jelasnya.

Sumber : Harian Metro

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.