Penutupan operasi kerajaan Amerika Syarikat (AS) tidak menjejaskan ekonomi Malaysia memandangkan ia lebih memberi kesan kepada isu dalaman pentadbiran negara tersebut.
Menerusi laporan Berita Harian, penganalisis berkata, kelewatan dalam pengeluaran data ekonomi utama, termasuk laporan pengangguran yang dijadualkan minggu ini, boleh memberi kesan tidak langsung terhadap pasaran kewangan global.
Menurut Pengarah Pakar Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPP Wealth Managers Ltd, Mohd Sedek Jantan, ekonomi Malaysia dijangka kekal stabil secara keseluruhan, namun pasaran saham berpotensi terkesan sekiranya penutupan kerajaan AS berlarutan melebihi dua minggu.
“Dari perspektif pasaran, ketidakpastian akibat kemungkinan penutupan kerajaan AS lazimnya mendorong peningkatan turun naik tidak menentu jangka pendek, terutamanya selepas tempoh pulangan yang kukuh. Namun, ini hanya di pasaran AS,” katanya kepada media.
Difahamkan, kegagalan Kongres meluluskan perjanjian pembiayaan menyebabkan kerajaan AS terpaksa menghentikan sebahagian besar operasi persekutuannya.
Berdasarkan rekod sebelum ini juga, penutupan kerajaan AS tidak meninggalkan kesan jangka panjang terhadap pasaran saham.
Tambah Mohd Sedek, pasaran saham lazimnya menunjukkan prestasi positif ketika separuh tempoh penutupan kerajaan, malah kebanyakan rekod mencatatkan paras lebih tinggi selepas tiga hingga enam bulan berikutnya.
“Secara lebih luas, prestasi pasaran cenderung lebih didorong oleh prospek pertumbuhan ekonomi, pendapatan dan faedah berbanding landskap politik,” ujarnya.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula menjelaskan bahawa penutupan kerajaan membawa maksud perkhidmatan kerajaan AS akan terbatas ekoran sekatan perbelanjaan.
Menurutnya lagi, kesan keadaan tersebut bergantung kepada sejauh mana situasi itu berterusan.
“Oleh itu, prospek pertumbuhan ekonomi AS dilihat semakin tidak menentu. Berikutan ekonomi AS adalah ekonomi terbesar di peringkat global maka kelembapan ekonomi AS dilihat bakal memberi kesan terhadap ekonomi global termasuk Malaysia.
“Sekiranya penutupan kerajaan AS ini berpanjangan, dikhuatiri ia boleh menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Sumber : Berita Harian
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.