Pelaksanaan BUDI MADANI RON95 mulai 30 September dijangka membolehkan individu yang layak berjimat hingga RM228 sebulan, sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup.
Berita Harian melaporkan, Kementerian Kewangan menyatakan jumlah penjimatan tersebut bergantung kepada harga pasaran semasa petrol RON95 tanpa subsidi.
Contohnya, sekiranya harga pam RM2.60 seliter tanpa subsidi, penjimatan untuk pengguna yang mengisi sebanyak 300 liter sebulan dianggarkan mencecah RM183.
Jika harga pam tanpa subsidi naik kepada RM2.75 seliter, rakyat berpeluang menikmati penjimatan lebih tinggi, iaitu hingga RM228 sebulan.
Penjimatan tersebut terhasil melalui perbezaan antara harga pasaran dengan harga BUDI MADANI RON95 yang ditawarkan khusus untuk warganegara.
Dengan pelaksanaan program ini, rakyat Malaysia yang layak berpeluang mendapatkan petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter.
Harga baharu ini lebih rendah daripada harga subsidi pukal semasa iaitu RM2.05 seliter, sebagai usaha terus membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup.
Penyasaran subsidi ini dilaksanakan kerana subsidi pukal petrol RON95 tidak lagi berdaya tahan, dengan perbelanjaan negara mencecah kira-kira RM20 bilion pada 2023 dan 2024.
Sekadar info, program ini akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan semakan kelayakan boleh dibuat di laman web rasmi www.budimadani.gov.my bermula 25 September.
Difahamkan, ia akan dibuka terlebih dahulu kepada anggota polis dan tentera pada 27 September, diikuti penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September, sebelum diperluas kepada semua warganegara layak pada 30 September 2025.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :