Kemudahan beli sekarang, bayar kemudian (BNPL) sememangnya memberi ruang perbelanjaan yang lebih anjal kepada pengguna. Namun tanpa kawalan dan disiplin, ia berpotensi mencetuskan beban kewangan dalam tempoh panjang.
Menurut Setiausaha Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC), Anthony Ang Sang Nang, kemudahan kredit seperti BNPL serta kad kredit diwujudkan sebagai alat pengurusan aliran tunai jangka pendek, terutama ketika berdepan keperluan mendesak atau perbelanjaan tidak dijangka.
Beliau menegaskan, pengguna seharusnya menilai kemampuan pembayaran sebelum membuat komitmen, agar tidak terjebak dalam kitaran hutang yang sukar dikawal akibat penggunaan melebihi had kewangan sendiri.
“Perniagaan sememangnya menggalakkan perbelanjaan, sebab itu diwujudkan kemudahan seperti BNPL dan kad kredit supaya pengguna boleh membeli. ”
”Namun sebagai pengguna, kita perlu bijak kerana ia hanyalah satu fasiliti yang sesuai digunakan dalam keadaan tertentu atau kecemasan, dan bukan untuk digunakan sepanjang masa secara sewenang-wenangnya,” katanya.
Ujar beliau, pengurusan hutang yang lemah boleh memberi kesan negatif terhadap rekod kredit seseorang, sekali gus menambah tekanan kewangan dalam jangka panjang.
Beliau turut mengingatkan agar pengguna menilai terlebih dahulu tujuan penggunaan BNPL serta keupayaan untuk melunaskan bayaran balik mengikut jadual. Kemudahan itu tidak wajar dijadikan sandaran utama bagi menampung komitmen atau perbelanjaan harian kerana ia boleh membawa kepada ketidakseimbangan kewangan.
Sumber : Berita RTM
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.