Bank Dunia Anggap Umur 55 Tahun ‘Terlalu Muda’ Untuk Keluarkan KWSP

Bank Dunia berpandangan bahawa usia 55 tahun sebagai had pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terlalu muda memandangkan Malaysia kini berdepan dengan populasi yang semakin menua.

Oleh itu, dengan menetapkan umur pengeluaran antara 65 hingga 70 tahun dianggap lebih sesuai dengan perubahan demografi negara, menurut laporan kajian terbaharu bertajuk Should Malaysia Expand Its Social Pension? Global Evidence, Design Issues and Options yang dilancarkan hari ini.

Memetik laporan Berita Harian, Bank Dunia menjelaskan bahawa menaikkan had umur pengeluaran persaraan dapat membantu meningkatkan jumlah faedah purata yang diterima oleh penerima pencen sosial.

Foto : Bernama

Bank Dunia turut mencadangkan agar umur kelayakan untuk menerima pencen sosial dinaikkan secara berperingkat kepada sekitar 65 hingga 70 tahun. Langkah ini dilihat penting bagi memastikan sistem perlindungan sosial negara terus kukuh dan mampu menampung peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia.

Pada masa ini, usia kelayakan untuk menerima pencen sosial ditetapkan pada 60 tahun, iaitu lebih rendah berbanding banyak negara lain. Umur tersebut juga dianggap tidak lagi selaras dengan peningkatan jangka hayat sihat rakyat sejak skim itu mula diperkenalkan pada tahun 1982.

Berdasarkan analisis terkini menggunakan data Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), langkah menaikkan umur kelayakan itu juga dapat membantu menyalurkan bantuan dengan lebih tepat kepada warga emas yang benar-benar memerlukan.

“Data HIES menunjukkan kadar kemiskinan relatif meningkat ketara apabila ketua isi rumah berumur lebih tua, masing-masing 24 peratus bagi mereka berumur 60 tahun ke atas, 42 peratus (65 tahun ke atas) dan 49 peratus (70 tahun ke atas). Ini menunjukkan risiko kemiskinan semakin meningkat seiring pertambahan usia,” katanya.

Bank Dunia menjelaskan bahawa peningkatan umur kelayakan adalah langkah yang wajar sekiranya disertakan dengan peluasan skim pencen sosial kepada lebih ramai penerima, khususnya bagi membantu golongan yang tidak mempunyai simpanan persaraan atau pencen tetap.

Dari sudut ekonomi politik, pelaksanaan kedua-dua langkah tersebut secara serentak iaitu memperluas liputan dan menaikkan umur kelayakan dianggap lebih berkesan berbanding hanya memperluas skim terlebih dahulu dan menangguhkan kenaikan umur, kerana tindakan itu boleh menjejaskan keyakinan awam serta meningkatkan beban kewangan kerajaan.

Menurut laporan itu, menetapkan umur kelayakan baharu antara 65 hingga 70 tahun dianggap lebih sesuai dengan keadaan semasa demografi Malaysia, di mana rakyat kini hidup lebih lama dan lebih sihat berbanding 40 tahun lalu.

Bagi mengurangkan kesan terhadap penerima sedia ada, mereka dicadangkan untuk terus menerima bantuan seperti biasa, manakala syarat umur baharu hanya akan dikenakan kepada penerima baharu.

Langkah tersebut juga dapat memberi ruang kepada kerajaan untuk menawarkan jumlah pencen sosial yang lebih tinggi kepada penerima yang layak tanpa menyebabkan peningkatan mendadak terhadap perbelanjaan fiskal negara.

Sumber : Berita Harian

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.

bank duniakwsp