Beberapa bank terbesar di Malaysia kini muncul sebagai pemegang saham utama Vantris Energy, sekali gus menandakan keyakinan baharu terhadap usaha pemulihan syarikat minyak dan gas yang dahulunya dikenali sebagai Sapura Energy.
Berita Harian melaporkan, pendedahan yang dibuat oleh MBSB Research menunjukkan tiga bank gergasi Malaysia kini mendominasi pemilikan Vantris Energy termasuklah Maybank dengan pegangan tertinggi sebanyak 20.3 peratus, diikuti CIMB sebanyak 12.1 peratus, manakala RHB Bank menguasai 7.2 peratus.
Difahamkan, tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada proses penyusunan semula hutang, dengan pemiutang menerima pegangan saham sebagai pengganti bayaran tunai.
Saham Vantris Energy diagihkan kepada bank pemiutang pada harga RM0.80 sesaham, berbanding harga pasaran RM0.53 pada 26 September 2025. Perbezaan ini dijangka menjejaskan sedikit keuntungan tahunan bank selepas penilaian semula dibuat.
MBSB Research menjangkakan pegangan saham ini akan menjejaskan kira-kira 1.5 hingga 2.4 peratus daripada keuntungan tahunan bank terlibat. AMMB turut dikatakan terkesan walaupun tidak mendedahkan pegangan kerana berada di bawah had 5 peratus.
Walaupun keuntungan terjejas dalam jangka pendek, penstrukturan semula Vantris Energy dilihat membawa manfaat. Ia menyelesaikan isu pinjaman bermasalah berskala besar dan membolehkan bank-bank mengurus pemulihan aset dengan lebih sistematik.
Pengurusan kebanyakan bank sebelum ini telah memberi petunjuk bahawa kutipan semula pinjaman dijangka bertambah baik pada separuh kedua 2025. Justeru, kesan daripada penyelesaian Vantris Energy kemungkinan besar sudah dimasukkan dalam ramalan kewangan mereka.
MBSB Research tetap mengekalkan penarafan ‘POSITIF’ terhadap sektor perbankan Malaysia, sambil menegaskan bahawa industri ini masih berdaya tahan dengan asas kukuh walaupun berdepan cabaran ekonomi semasa.
Sektor perbankan Malaysia diperkukuh dengan pendapatan kukuh, kestabilan aset dan dividen tinggi, menjadikannya lebih menyerlah berbanding pasaran serantau yang berdepan risiko geopolitik.
Sumber : Berita Harian
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.