Apa Jadi Pada Rakyat Malaysia Kalau OPR Menurun ?

Penurunan Overnight Policy Rate (OPR) sering dianggap sebagai langkah penting dalam dasar monetari negara.

Namun, di sebalik keputusan ini, rakyat Malaysia juga akan merasai kesan daripada bayaran pinjaman bulanan hinggalah kepada corak perbelanjaan harian.

Foto : The Malaysian Reserve

Berikut merupakan beberapa kesan utama yang boleh dirasai oleh rakyat apabila OPR diturunkan, sama ada dalam urusan pinjaman, simpanan mahupun perbelanjaan harian.

  1. Pinjaman menjadi lebih mampu milik
    Apabila OPR turun, kadar faedah pinjaman juga akan menurun. Ini menjadikan ansuran rumah, kereta atau pinjaman peribadi lebih ringan, sekali gus meringankan beban kewangan isi rumah.
  2. Meningkatkan kuasa beli rakyat
    Apabila beban hutang berkurang, rakyat mempunyai lebih wang lebihan untuk digunakan bagi perbelanjaan harian atau disimpan. Keadaan ini secara tidak langsung merangsang permintaan dalam ekonomi kerana lebih ramai mampu membeli barang dan perkhidmatan yang diperlukan.
  3. Galakan kepada pelaburan dan perniagaan
    Kadar faedah rendah mendorong pelabur dan peniaga mengambil pembiayaan tambahan. Pinjaman murah memudahkan perniagaan berkembang, sementara pelabur individu lebih berani melabur dalam aset seperti saham dan hartanah.
  4. Pulangan simpanan yang rendah
    Selain itu, kadar faedah simpanan dan deposit tetap juga berkurang, menjadikan pulangan simpanan kurang menarik. Mereka yang bergantung pada pendapatan simpanan mungkin perlu mencari alternatif pelaburan dengan pulangan lebih tinggi dan mungkin berisiko.
  5. Risiko kenaikan inflasi
    Penurunan OPR bertujuan merangsang ekonomi dengan menambah aliran wang dalam pasaran. Namun, kesannya boleh mendorong inflasi apabila permintaan meningkat, sekali gus menyebabkan harga barang naik dan kos sara hidup rakyat tertekan.
  6. Kesan kepada nilai ringgit
    Dalam pada itu, penurunan kadar faedah ni juga boleh melemahkan nilai ringgit berbanding mata wang asing, sekali gus menjadikan barangan import lebih mahal dan meningkatkan harga barangan pengguna.

Secara ringkasnya, penurunan OPR memberikan kelebihan seperti pinjaman lebih murah dan kuasa beli yang meningkat.

Pada masa sama, ia juga membawa kesan sampingan seperti pulangan simpanan yang berkurangan serta risiko inflasi, sekali gus menuntut rakyat untuk mengurus kewangan dengan lebih bijak.

Sumber : Majalah Labur

Penafian: Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.

inflasiMALAYSIAOPR