AirAsia X Bhd berhasrat mengukuhkan kedudukan dalam segmen penerbangan jarak sederhana dengan menambah pesawat baharu bersaiz lebih kecil, termasuk model generasi terbaharu dengan enjin NEO serta varian jarak jauh (LR).
Memetik laporan Bernama, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Benyamin Ismail, memaklumkan bahawa pesawat baharu itu dijangka tiba pada separuh kedua tahun 2026.
Beliau berkata, AirAsia X bakal menerima model Airbus A321neo dan A321LR, yang akan membolehkan syarikat mengendalikan penerbangan dengan jarak antara lima hingga tujuh jam.
“Sebagai contoh, kami sedang menilai beberapa destinasi berpotensi seperti Busan di Korea Selatan, Adelaide dan Darwin di Australia serta beberapa bandar kecil di China,” katanya ketika ditemui semasa lawatan media sempena penerbangan sulung AirAsia X ke Tashkent, Uzbekistan.
Syarikat penerbangan itu memulakan operasi penerbangan ke Tashkent pada 15 Oktober 2025, dengan menawarkan tiga penerbangan setiap minggu yang menghubungkan Malaysia dan ibu negara Uzbekistan.
Laluan tersebut merupakan destinasi kedua AirAsia X di rantau Asia Tengah selepas Almaty, Kazakhstan, yang mula diperkenalkan pada 14 Mac 2024.
Menurut Benyamin, selain memperkenalkan destinasi baharu, AirAsia X juga memberi tumpuan kepada usaha menambah kekerapan penerbangan bagi laluan yang sedia ada susulan prestasi semasa yang menunjukkan perkembangan positif.
“Di Australia, kami sedang berusaha untuk menawarkan jadual penerbangan yang lebih konsisten. Permintaan dari China juga semakin meningkat, maka kami menambah kapasiti di sana. Selain itu, penerbangan ke Jepun dan Korea Selatan turut mencatat permintaan kukuh,” jelasnya.
Beliau menjelaskan bahawa prestasi kewangan bulanan dan suku tahunan menunjukkan kadar muatan purata mencecah 84 peratus, menandakan peningkatan yang signifikan berbanding semasa tempoh pandemik COVID-19.
Sumber : Bernama
Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1
Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.