“5.5 hingga 6.3%” – Dividen KWSP Tahun Ini Lebih Menarik Daripada Yang Dijangkakan!

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diramal mampu menawarkan pulangan dividen bagi tahun 2025 pada kadar sekitar 5.8 hingga 6.3 peratus untuk Simpanan Konvensional, manakala Simpanan Shariah pula diunjurkan berada dalam lingkungan 5.5 hingga 6.0 peratus.

Menurut Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, unjuran tersebut dibuat berdasarkan pencapaian prestasi pelaburan yang memberangsangkan sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini. Namun begitu, beliau menegaskan bahawa keputusan akhir masih bergantung kepada strategi pengambilan untung serta keperluan mengekalkan rizab bagi menjamin kestabilan jangka panjang dana persaraan.

Foto : NSTP

Beliau turut menjelaskan bahawa anggaran itu dianggap realistik, mengambil kira rekod prestasi semasa dan pendekatan pengurusan KWSP yang mengutamakan kelangsungan serta tadbir urus berhemah.

“Berdasarkan prestasi sembilan bulan dan disiplin realisasi serta rizab KWSP sendiri, jangkaan bagi dividen 2025 adalah sekitar 5.8 hingga 6.3 peratus untuk Simpanan Konvensional dan sekitar 5.5 hingga 6.0 peratus untuk Simpanan Shariah,” katanya kepada media.

Samirul berkata, pencarum wajar memahami hakikat bahawa tidak semua pulangan daripada pasaran boleh diagihkan dalam bentuk dividen, terutamanya apabila keuntungan tersebut masih belum direalisasikan.

“KWSP menegaskan bahawa keuntungan ‘mark-to-market’, termasuk yang dipacu pertukaran asing dan belum direalisasi, tidak boleh diagihkan sebagai dividen,” katanya.

Meskipun keadaan pasaran antarabangsa semakin menunjukkan tanda-tanda positif, kadar dividen yang akan diumumkan tetap ditentukan oleh tahap keuntungan yang telah direalisasikan serta keperluan memperuntukkan sebahagian pendapatan sebagai simpanan rizab.

“Faktor ini secara langsung mengehadkan ‘siling’ dividen, walaupun pendapatan pelaburan kelihatan tinggi di atas kertas,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kadar dividen Simpanan Shariah biasanya sedikit lebih rendah berbanding Simpanan Konvensional, disebabkan pilihan pelaburan yang lebih terhad dalam struktur Shariah.

“Portfolio Shariah tidak mempunyai bon konvensional, kurang fleksibiliti dari segi pelindung risiko tertentu dan lebih sensitif kepada kitaran ekuiti,” jelasnya lagi.

perbezaan antara kadar dividen Simpanan Konvensional dan Shariah biasanya wujud, walaupun dalam tahun pemulihan jurang itu mungkin agak kecil. Bagi 2025, dengan ketidaktentuan pasaran global yang tinggi, perbezaannya dijangka sekitar 0.2 hingga 0.3 mata peratusan.

Beliau turut menolak jangkaan dividen lebih tinggi sehingga 6.5 atau 7.0 peratus walaupun prestasi sembilan bulan pertama kelihatan sangat memberangsangkan.

“Mandat KWSP bukan memaksimumkan dividen satu tahun, tetapi memastikan kebolehmampanan pulangan jangka panjang,” ujarnya.

Dengan saiz dana melebihi RM1 trilion, populasi pencarum yang semakin matang dan keperluan rizab yang semakin kritikal, KWSP sangat sensitif terhadap risiko pengagihan berlebihan.

“Dari sudut tadbir urus dana persaraan, kadar 5.8 hingga 6.3 peratus bagi Konvensional sudah berada dalam zon yang kompetitif, ‘defensible’ dan tidak mengorbankan disiplin rizab,” katanya.

Ujarnya lagi, prestasi sembilan bulan pertama sememangnya kukuh, namun KWSP sendiri telah memberi isyarat untuk berhati-hati memasuki suku keempat.

“Penilaian ekuiti global sudah tinggi dan KWSP mula mempercepat ‘mengunci keuntungan’ kerana tidak menjangkakan persekitaran pasaran hujung tahun semudah sembilan bulan pertama,” katanya.

Selain itu, jangkaan dividen KWSP adalah konsisten dengan sentimen positif daripada pengumuman dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang stabil, tetapi tidak wajar dijadikan asas perbandingan langsung.

“ASB hanya memberi sentimen sokongan. KWSP jauh lebih terdedah kepada pasaran global, pertukaran asing, geopolitik dan kitaran kadar faedah antarabangsa,” katanya.

Setakat sembilan bulan pertama 2025, pendapatan pelaburan KWSP mencatat RM63.99 bilion, meningkat 11 peratus berbanding RM57.57 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan trajektori pendapatan yang sihat.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak berkata prestasi pendapatan pelaburan sembilan bulan pertama memberi isyarat awal yang memberangsangkan terhadap kemampanan dividen 2025.

“Walaupun pendapatan yang stabil menunjukkan keupayaan KWSP menjana pulangan yang sihat, penilaian akhir tetap bergantung kepada prestasi suku terakhir serta keperluan mengekalkan rizab mencukupi,” katanya.

Difahamkan, dividen ASB yang stabil boleh ditafsirkan sebagai petunjuk positif terhadap aset domestik, namun ia lebih sesuai dilihat sebagai isyarat sokongan, bukan penentu utama dividen KWSP.

Sumber : Berita Harian

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.

dividenkwsp