3.6 Juta Pembayar Cukai Terlibat, LHDN Perkenal Strategi Baharu Bayaran Balik

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang menyusun pendekatan baharu yang lebih seimbang bagi memastikan agihan bayaran balik yang diperuntukkan kerajaan dapat dilaksanakan secara sistematik.

Menurut kementerian itu, pendekatan berkenaan termasuk memberi keutamaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat yang berdepan kekangan aliran tunai, selain melaksanakan kaedah pemprosesan berasaskan prinsip First In, First Out (FIFO).

Foto : Harian Metro

Beliau menjelaskan bahawa langkah berkenaan turut merangkumi pengagihan bayaran balik lebihan cukai secara lebih teratur dengan mengambil kira tempoh tunggakan, selain memastikan penyelesaian sepenuhnya dibuat bagi tunggakan bayaran balik lebihan cukai melibatkan pembayar cukai individu.

“Selain itu, pindaan perundangan cukai juga dibuat bagi membolehkan pembayar cukai membuat semakan pada bulan ke-11, berbanding semakan pada bulan keenam atau kesembilan atau kedua-duanya sahaja.

“Melalui kemudahan semakan tambahan yang disediakan ini, bayaran anggaran cukai yang perlu dibuat sepatutnya menghampiri jumlah tanggungan cukai sebenar yang perlu dibayar oleh syarikat, dan ini seterusnya akan dapat mengurangkan bayaran balik lebihan cukai di pihak Kerajaan,” jelas MOF menerusi jawapan bertulis yang diterbitkan dalam laman sesawang Parlimen, semalam.

Penjelasan itu dikemukakan sebagai respons kepada soalan Wee Ka Siong (BN–Ayer Hitam) yang meminta butiran mengenai baki tunggakan lebihan cukai yang masih belum dibayar melibatkan pembayar cukai, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain sasaran Kerajaan menjelang 2026 merangkumi tempoh penyelesaian serta kaedah bagi mengelakkan pembentukan tunggakan baharu.

Bagi tahun 2025, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah melunaskan bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM22.45 bilion kepada kira-kira 3.6 juta pembayar cukai, termasuk syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Sumber : Harian Metro

Untuk lebih banyak info semasa/kewangan, sertai saluran Telegram kami di sini :
SuperScalper INFO: https://t.me/+HoMthHADXd02MTg1

Penafian : Penulisan/ bahan bacaan ini adalah untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan sahaja.

cukaiLHDN